Khamis, 31 Ogos 2006

Keluhan Tanjong Rambutan

Stigma Tanjong Rambutan sebagai sudut terpuruk yang memalukan telah bermula sejak tahun 1908. Ia dimulakan oleh seorang ahli bidang psikiatrik British yang mengilhamkan sebuah pusat rawatan khusus untuk merawat pesakit mental didirikan. 

Pada tahun 1910, pusat kesihatan mental pertama di jajahan British Malaya mula dibina berhadapan stesen keretapi Tanjong Rambutan yang telah dibuka terlebih dahulu pada tahun 1905. Impian British dalam pembinaan Tanjong Rambutan tidak menjadi kenyataan. 

Tanjong Rambutan kekal sebagai sebuah pekan kecil, lebih seratus tahun selepas ia mula dibangunkan untuk menjadi sebuah bandar. Hasrat penjajah British untuk memajukan bandar Tanjong Rambutan yang dianggap indah dan alamiah ini, akhirnya terkubur. Kini, Tanjong Rambutan telah menjadi diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh dengan diwakili seorang Ahli Majlis.

Tanjong Rambutan menjadi antara bandar tersusun paling awal dibangunkan di daerah Kinta. Pembinaan kedai teres yang diperbuat dari mortar dan bata telah didirikan di atas lot-lot tanah yang telah dikhususkan. Lot-lot rumah di anugerahkan dengan bayaran yang minimum bagi menarik penduduk Melayu meninggalkan tanah tradisi mereka yang kaya dengan deposit timah. 

Tanjong Rambutan dibangun sebagai sebuah bandar pendalaman yang menyegarkan. Sungai Kinta yang menjadi sempadan selatan bandar Tanjong Rambutan yang baru mengalir jernih dan dingin. Kebiruan pemandangan banjaran Titiwangsa membuatkan pelabur-pelabur Eropah sanggup membangunkan kedai-kedai batu yang besar dan keprihatinan para pelabur Eropah dalam membangunkan Tanjong Rambutan adalah mengagumkan.

Kelahiran Tanjong Rambutan jelas sekali mempunyai sebab yang amat jelas. Pada tahun 1890an, kawasan-kawasan yang kaya dengan deposit bijih timah dijumpai di sepanjang kawasan antara TanjungRambutan, Tambun dan Ampang oleh pengkaji mineral Eropah.  Lombong-lombong baru telah mula dirancang untuk dibuka oleh pelabur Eropah di kawasan Tanjong Rambutan dan Tambun. 

Mereka mengadakan usahasama dengan pembekal buruh Cina. Fenomena melombong besar-besaran ini cenderung membabitkan urusan antara pembesar Melayu yang memberi izin, pelabur Cina yang membekal tenaga kerja merangkap penanam saham dan individu-individu serta pegawai-pegawai British yang ghairah untuk melombong kekayaan yang bakal disedut keluar melalui stesen keretapi Tanjong Rambutan yang sedang mereka bina. 

Penemuan lombong baru ini telah memerlukan jentera dan peralatan melombong yang termoden di zamannya untuk di bawa masuk. Maka untuk untuk itulah, perlunya laluan pengangkutan jentera-jentera ini dan pihak British bersetuju untuk melencongkan laluan keretapi ke TanjongRambutan. 

Setelah mengenalpasti kawasan yang kaya deposit bijih timahnya, British mengorak langkah permulaan dengan membina sebuah perbandaran tersusun untuk penduduk Kampung Tanjong Rambutan. Ini bertujuan bagi membolehkan penduduk Kampung Tanjong Rambutan meninggalkan tanah mereka untuk membolehkan ianya dilombong. 

Sejak zaman sebelum British berjaya menakluk sistem birokratik negara ini, Tanjong Rambutan diketahui telah pun wujud sebagai sebuah penempatan pelombong bijih timah keturunan Melayu. Orang Melayu yang datang dan mendiami Kampung Tanjong Rambutan tidak menjalankan aktiviti lain selain melombong bijih timah. 

Oleh kerana Kampung Tanjong Rambutan tidak terletak di laluan tradisi dari Perak untuk ke Kedah dan Patani, Tanjong Rambutan bagaikan terlindung dari penjarahan besar-besaran yang akhirnya akan mengundang oportunis British.

Tanjong Rambutan ibarat hanya berkongsi hasil buminya dengan penduduk setempat. TanjongRambutan pada waktu itu tidak dapat dimuduki melalui sungai dari Ipoh kerana arus yang deras dan berjeram.  Di sudut lain pula, laluan antara Ipoh dan Tanjong Rambutan menjadi kawasan merbahaya apabila para perompak telah menjadikan Tambun sebagai sarang mereka.  

Penduduk Kampung Tanjung Rambutan hakikatnya telah lama menjalankan kegiatan melombong timah di sekitar Ulu Kinta. Ini dijelaskan lagi dengan kewujudan pengusaha-pengusaha lombong Melayu awal di Tanjong Rambutan telah terkenal kaya-raya kerana berdagang bijih timah. 

Menurut kajian A. Razzak Lubis dalam bukunya bertajuk Kinta Valley, pelopor perlombongan bijih timah di Tanjong Rambutan ialah seorang yang berpengaruh bernama Panjang Osman. Namun, nama Kulup Limbang lebih dikenali kerana menjelang 1905, Kulup Limbang telah dilantik ke jawatan tinggi dalam sistem perundangan setempat. Namanya kini diabadikan di sebatang jalan di Happy Garden, Ipoh. 

Kulup Limbang atau dikenali Tok Lembang merupakan orang Melayu terkaya di Tambun. Kekayaannya diperoleh jauh sebelum British menemui kekayaan deposit bijih timah yang tertanam di kawasan Tanjong Rambutan hingga ke Tambun. Beliau merupakan saudagar bijih timah yang terkenal sepanjang laluan antara Tanjong Rambutan dan Ipoh. Beliau turut menjalankan perniagaan sewa gajah untuk mengangkut bijih timah dari Tanjong Rambutan ke Ipoh melalui laluan gajah. 

Perniagaannya merosot apabila British membina jalan dari Ipoh hingga ke Tanjong Rambutan pada tahun 1895 bagi membolehkan kereta kuda dan kereta lembu dapat melalui laluan keTanjong Rambutan. Potensi Tanjong Rambutan sebagai kawasan lombong yang produktif mungkin telah dikesan sejak sebelum 1890 lagi. Kekayaan Tok Lembang yang menguasai perlombongan bijih dari Tambun hingga Tanjong Rambutan mungkin telah mendatangkan irihati kepada pihak British dan sudah tentu pengkaji galian mineral telah diarah untuk membuat kajian di kawasan Tok Lembang. 

Menilai bahawa mereka menjumpai sesuatu yang cukup lumayan, kerajaan British berjaya dilobi oleh para pengusaha lombong Eropah yang kaya raya untuk melencongkan laluan keretapi ke arah timur menuju Tanjong Rambutansedangkan Pulau Pinang terletak di sebelah barat laut. Lencongan pembinaan landasan ini dibina menghulu Sungai Kinta sejauh lebih 11 km sebelum membelok 120 darjah ke barat laut menuju ke arah Chemor.

Ini sudah tentu merupakan kesengajaan yang benar-benar berkepentingan suatu masa dahulu, sehinggakan jarak efisien dari Ipoh ke Chemor diabaikan. Akibatnya, untuk ke Chemor dengan menaiki keretapi dari Ipoh,  Chemor akan berada lebih jauh sehingga hampir 4 kilometer. Pembukaan stesen keretapi Tanjong Rambutan dijadikan British sebagai titik tolak untuk memaksimakan hasil yang bakal mereka peroleh di Ulu Kinta.

Kampung Tanjong Rambutan yang diperoleh dengan cara yang licik, telah dilombong sebahagian besarnya dan ia didapati memberikan hasil yang lumayan. Sebenarnya, Tanjong Rambutan baru yang di bina British itu, dirancang oleh British untuk menjadi pusat penempatan semula penduduk Kampung Tanjong Rambutan yang terletak 2 km dari Tanjong Rambutan yang baru, di laluan darat menuju ke Ipoh. 

British membangunkan Tanjong Rambutan dengan komitmen dan harapan yang tinggi. Mereka mendirikan mahkamah diTanjong Rambutan selepas balai polis disiapkan. Pembinaan pasar, stesen keretapi, balai polis, hospital dan mahkamah menjadikan Tanjong Rambutan sama taraf dengan bandar utama lain pada zaman itu. Jalannya yang tersusun, lorong demi lorong, dengan ukuran yang tertib menjadi imej bandar Tanjong Rambutan yang baru. 

Namun masalah timbul apabila lot-lot kediaman yang ditawarkan oleh kerajaan British tidak mendapat sambutan. Penduduk yang berpindah mungkin lebih selesa membina petempatan baru di pinggir Sungai Kinta. Atau mungkin ianya adalah satu bentuk protes oleh penduduk Kampung Tanjong Rambutan ke atas kerajaan British? 

Tanjong Rambutan dirancang sebaiknya oleh British supaya ia akan membesar dan berkembang bersama-sama dengan Ipoh yang pada ketika itu kotor dengan sisa buangan kandang-kandang lembu dan babi. British mungkin telah memulakan perancangan mewujudkan Kinta sebagai sebuah kotaraya, yang bakal terdiri dari gabungan beberapa buah bandar. 

Dengan membina bandar Batu Gajah sebagai permulaan, British kemudiannya membangunkan Ipoh yang terletak 20km di sebelah hulu Batu Gajah dan mengakhiri rangkaian bandar pinggir Sungai Kinta ini dengan membina Tanjong Rambutan yang terletak 15 km di sebelah hulu Ipoh. Pembinaan Tanjong Rambutan dilihat telah difungsikan untuk menjadi sebuah bandar yang pada suatu hari nanti, akan berdiri atas sistem perbandaran tersendiri. 

Hakikat yang pasti ialah, kegagalan impian British untuk melihat Tanjong Rambutan menjadi besar, maju dan sibuk ini banyak berpunca dari stigma masyarakat selama empat hingga lima generasi ke atas Tanjong Rambutan. 

Jika dilihat pada awal penubuhannya, pusat rawatan ini adalah tempat yang mempunyai ketenangan yang mengagumkan, tempat beristirehat pegawai-pegawai British yang kerunsingan atau para-para ekspatriat yang memerlukan khidmat nasihat dalam menangani stress di rantau jajahan. Sejarah hospital yang berkeluasan 2.2 kilometer persegi ini dimulakan oleh Dr. W.F. Samuels pada tahun 1910. 

Dengan pemilihan tapak yang  telah dicadangkan oleh Dr. Samuels, kerajaan British telah membina sebuah hospital yang diberi nama Federal Lunatic Asylum. Pembinaan siap pada tahun 1911 dan  Dr.Samuels dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama. 

Pada peringkat awal, Federal Lunatic Asylum hanya merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur.Pada tahun 1928 Federal Lunatic Asylum diubah nama kepada Central Mental Hospital atau lebih popular Tanjong Rambutan Hospital. 

Pada awal tahun 1970-an pula, nama Central Mental Hospital Tanjong Rambutan telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri. Mungkin juga, ia bagi membantu Tanjong Rambutan untuk membebaskan diri dari dikaitkan dengan nama hospital sakit jiwa tersebut. 

Hari ini, Hospital Bahagia Ulu Kinta yang ditadbir Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjadi sebuah institusi dan yayasan psikiatri terbesar dari empat buah seumpamanya di tanah air. Ia mempunyai beribu-ribu katil dan menjadi antara hospital terbesar di Malaya pada satu masa dahulu. 

Tetapi, selepas hampir 40 tahun melepaskan diri dari dikepil dengan nama sebuah hospital sakit jiwa, Tanjong Rambutan merindui Hospital Bahagia Ulu Kinta. Ini kerana, kakitangan yang bekerja di situlah yang selama ini memastikan Tanjong Rambutan terus hidup.  

Pembangunan penempatan baru beserta kawasan perniagaan yang lebih efisien dan beraneka pilihan seperti di Taman Perpaduan, yang terletak 4 km ke selatan, telah membuatkan Tanjong Rambutan semakin suram. 

Tanjong Rambutan sendiri pasti tidak memahami mengapa nasibnya begitu buruk. Mungkin kini, hanya Tanjong Rambutan yang sedar bahawa walaupun sudah lebih 100 tahun menempatkan 'hospital gila', masyarakat telah seronok untuk menjadikan orang gila, sebagai bahan jenaka. 

Ia mungkin hasil dari kecenderungan sesetengah kalangan masyarakat untuk merasakan bahawa ianya bukan isu yang serius kerana hidup tanpa ketawa yang lebih menakutkan mereka.   Maka berlakulah pembunuhan kejam akibat tangan mereka yang kurang siuman ini, mungkin setelah toleransi mereka terhadap stigma diuji dengan hasutan suara-suara halus yang berbaur dendam atas perkara yang mungkin dianggap remeh. 

Skizofrenia, menjadi penyakit mental yang oleh rata-rata pesakit di hospital ini, hari ini. Ibarat satu tindakan mempusakakan stigma ke atas Tanjong Rambutan, berjenaka dengan nama Tanjong Rambutan telah pun dipopularkan sejak seawal tahun 1950an oleh para penggiat seni filem humor pada ketika itu. 

Contohnya, di dalam filem Pendekar Bujang Lapok dan Tiga Abdul yang masih popular hingga ke hari ini. Mungkin pada waktu itu, mendengar nama Tanjong Rambutan, pasti akan membuat orang ketawa. Mungkin sahaja pada waktu itu Tanjong Rambutan telahpun menjadi bahasa yang sedikit sopan bagi menggantikan perkataan gila.

Tanjong Rambutan pernah berdiri di tengah laluan nadi pembangunan dan ekonomi British Malaya dan menggamit perhatian ribuan penumpang keretapi yang berulang alik antara selatan dan utara. Lebih tepat, antara Butterworth dan Singapura. 

Ketika itu, Kuala Lumpur telah menjadi menjadi pusat transit penumpang keretapi yang bertindak sebagai penyambung perjalanan antara Pulau Pinang dan Singapura, dua buah negeri kepunyaan British secara mutlak pada ketika itu. Dengan kira-kira 12 juta penduduk seluruh Malaya dan kadar kemiskinan yang tinggi pada saat awal kemerdekaan, jalan raya tidak menjadi pilihan popular mobiliti rakyat kerana ianya langsung tidak praktikal dan mahal. 

Kekerapan keretapi dari Butterworth menuju ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, menjadikan keretapi sebagai satu-satunya medium pengangkutan yang patut dipilih. Tidak kurang dari 10 keretapi penumpang melintasi Tanjong Rambutan setiap hari,pada zaman kegemilangan pengangkutan rel ini, di mana enam daripadanya berhenti di Tanjong Rambutan. 

Namun itu menjadi sejarah yang tidak terulang. Pintasan laluan keretapi dari Tasek ke Kinding bagi projek Landasan Keretapi Elektrik Berkembar Johor Bahru- Padang Besar telah membunuh riwayat  stesen keretapi Tanjong Rambutan yang berusia lebih 110 tahun.

Dari sudut lain, berbagai usaha telah dibuat termasuklah oleh wakil-wakil rakyat terdahulu dalam membersihkan Tanjong Rambutan dari stigma ini. Bagi pecinta aktiviti mendaki gunung, Tanjong Rambutan telah mereka kenali kerana ia menjadi pelepas dan penyambut mereka untuk aktiviti mendaki Gunung Korbu, kemuncak kedua tertinggi di Semananjung Malaysia, yang terletak 15 km ke timur Tanjong Rambutan. 

Tanjong Rambutan mungkin memerlukan sedikit lagi masa untuk mengikis stigma masyarakat Malaysia terhadap identitinya. Pembukaan Kolej Pembantu Perubatan di dalam kawasan Hospital Bahagia Ulu Kinta tidak lama dulu, telah merangsang peningkatan aktiviti seharian di Tanjong Rambutan. 

Terbaru, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyiapkan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu yang terbesar di Malaysia di atas sebahagian tanah Hospital Bahagia Ulu Kinta yang bakal menampung 3,000 orang pelajar dari seluruh pelusuk tanah air.

Kita sewajarnya berasa hairan dengan sikap kita sendiri yang terbiasa meletakkan nama Tanjong Rambutan sebagai ungkapan yang berniat menghina sebagai reaksi kepada sesuatu yang kita anggap kurang siuman. Ini mungkin kerana, selama ini, kita telah lupa bahawa Tanjong Rambutan telah banyak berbakti dalam memulihkan penderitaan pesakit jiwa, bukan sahaja dari sudut sains perubatan, bahkan dari pemulihan yang berkait dengan persekitaran yang segar dan pemandangan gunung yang membiru dan bukit menghijau yang tersedia diTanjong Rambutan.  

Malangnya, ada juga waris yang tidak mahu menerima mereka yang telah pulih dan para waris ini cenderung berhajat untuk memutuskan hubungan kekeluargaan dengan pesakit. Pesakit yang telah pulih ini dibiarkan untuk berada terus di Tanjong Rambutan. Mereka ini, akhirnya terpaksa menghabiskan sisa hidup mereka di tempat yang tidak lagi wajar untuk mereka, sehinggalah tiba hari mereka dipanggil untuk meninggalkan Tanjong Rambutan dengan menyerahkan jasad mereka kepada buminya.

Tanjong Rambutan terus mengeluh.